Jom Baca Cerita
Nov 24, 2009 | 0 comments
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kawan-kawan suka tak dengar cerita? Hari ini Amirah akan bercerita tentang akhlak. Dalam Islam, nilai dan peraturan kehidupan diasaskan kepada nilai akhlak. Akhlak dalam ajaran Islam adalah bersifat rabbani, iaitu bersumber daripada Allah. Ia meliputi semua akhlak dan sifat mulia yang diajar al-Quran. Amirah harap kisah yang Amirah paparkan ini dapat memberi pengajaran kepada semua pembaca.

Si Derhaka

Seman dan ibu bapanya tinggal di Kampung Hulu Petai. Rupa Seman hodoh dan kulit badannya berbelang-belang. Bagaimanapun Seman disayangi oleh ibu bapanya. Penduduk kampung itu sering mencari petai di dalam hutan. Di pinggir hutan terdapat sekeping batu leper. Penduduk kampung selalu melihat puteri bunian berdiri di atas batu itu.

Pada suatu hari, Seman keluar mencari kayu api di dalam hutan. Entah bagaimana, tiba-tiba Seman tersesat. Puas dia mencari jalan keluar tetapi tidak berjumpa. "Mana pula jalan keluar ini?" Seman berasa cemas. Apabila berasa letih, Seman berehat lalu tertidur di atas batu leper itu.

Tidak lama kemudian, Seman terjaga dan berasa terperanjat. Dia mendapati dirinya berada di dalam sebuah istana. Dia dikekelilingi dayang-dayang. "Sekarang kakanda sudah menjadi suami adinda," kata tuan puteri yang jelita. Tiba-tiba, Seman teringat akan kisah istana puteri bunian di dalam hutan.

Sejak itu, Seman dan puteri bunian hidup bahagia di istana. Rupanya pun telah berubah. Dia amat segak dan tubuhnya tidak berbelang-belang lagi. Sudah lama benar Seman berada di istana puteri bunian. Dia teringat akan kedua-dua ibu bapanya. Dia amat rindu kepada mereka. Setiap hari, Seman hanya bermurung di istana.

Tuan puteri bunian tahu apa yang difikirkan suaminya. "Kakanda pulanglah berjumpa dengan ibu bapa kakanda. Kalau perlu bantuan, gosoklah batu ini," kata tuan puteri bunian. Tuan puteri bunian memberikan Seman sebutir batu permata. Dia menasihati Seman supaya tidak menderhaka. Balasan kepada orang yang derhaka amat dahsyat.

Setiba di kampung, Seman disambut kedua-dua ibu bapanya. Mereka berasa sangat gembira dan tidak menyangka Seman masih hidup. Ibu bapa Seman bercadang mengadakan kenduri. Tetapi mereka tidak ada makanan dan pinggan mangkuk yang cukup. Seman teringat akan batu permatanya.

Malangnya ibu Seman telah membuang batu permata itu. "Ibu fikir batu yang hitam itu tidak berguna," kata ibunya. Seman berasa amat marah. Seman memarahi ibunya yang cuai. Ibu Seman menangis ketakutan. Ayahnya pula tergamam melihat kelakuan anak mereka itu. Tiba-tiba, Seman berasa tubuhnya panas.

Seman mendapati wajahnya bertukar menjadi hodoh dan tubuhnya berbelang-belang semula. Kini, Seman menerima nasib buruk akibat perbuatannya yang menderhaka.

Moral : Janganlah menderhaka kepada ibu bapa kerana mereka banyak berjasa kepada kita.

*************************************************************************************

Labels:


NEW
OLD