Belalang Dan Burung Hantu
Nov 27, 2009 | 1 comments

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Semalam Amirah tidur di rumah Wan & Ki (nenek dan datuk Amirah). Sebab itulah Amirah tak sempat nak tulis artikel kat blog Sesuci Kejora ini. Sekarang Amirah akan sambung semula cerita yang tergendala semalam.

Di dalam sebuah hutan, tinggal seekor belalang yang agak nakal. Ia suka menyanyi dengan kuat dan mengganggu haiwan-haiwan lain.

Pada suatu hari, belalang hinggap di atas sepohon pokok yang rendang. Ia ternampak seekor burung hantu sedang tidur di atas dahan pokok itu. Belalang yang nakal itu terus menyanyi dengan lantang. Ia sengaja ingin mengganggu burung hantu yang sedang tidur itu.

Burung hantu terjaga daripada tidur sebaik sahaja terdengar suara belalang yang nyaring. Ia berasa sungguh marah kerana belalang mengganggunya.

"Hai belalang, janganlah kamu mengganggu saya tidur! Saya sugguh mengantuk," marah burung hantu. Belalang tidak mempedulikan kata-kata burung hantu. Ia terus menyanyi dengan kuat sambil menari-nari.

Burung hantu berasa sangat marah. Ia tahu belalang sengaja ingin mengganggunya. Ia mencari akal untuk menghapuskan belalang.

"Wahai belalang, saya suka mendengar suara kamu yang merdu itu. Mari ke sini dan menyanyilah dekat saya. Bolehlah saya tidur dengan lena sambil mendengar nyanyian kamu," kata burung hantu.

Belalang berasa sangat gembira mendengar pujian daripada burung hantu. Haiwan-haiwan lain tidak pernah memujinya sebelum itu. Belalang menghampiri burung hantu dengan perasaan gembira. Ia menyanyi dengan nyaring sambil menari-nari.

Ketika belalang asyik menyanyi sambil memejam matanya, burung hantu terus menyambar belalang. Belalang sungguh terkejut. Ia meronta-ronta cuba melepaskan diri daripada genggaman burung hantu.

"Selepas ini kamu tidak akan ganggu saya lagi," kata burung hantu. Ia ketawa berdekah-dekah melihat belalang tidak dapat melepaskan diri. Ia terus menelan belalang itu. Kemudian, burung hantu meneruskan tidurnya tanpa sebarang gangguan.

Moral : Jangan cepat berasa bangga dengan pujian orang.

Labels:


NEW
OLD