Adab Bergaul
Nov 26, 2009 | 1 comments
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dalam kehidupan seharian, kita sering bergaul bersama rakan-rakan dan jiran tetangga. Kadang-kadang kita bertegur sapa dengan orang yang tidak kita kenali. Contohnya ketika menunggu bas atau ketika berselisih di tangga masjid. Sekiranya pertemuan singkat itu dilanjutkan, lama-kelamaan orang itu akan menjadi kawan kita. Walaubagaimanapun, kita perlu ingat adab dan tatatertib ketika bergaul.

Diantaranya ialah dahului dengan memberi salam. Lafazkan ucapan salam dengan jelas dan sempurna, bukannya dengan sebutan ringkas hingga mencacatkan bunyi dan maknanya seperti semekom, salamualaikum dan asmaikum.

Selain itu, kita tidak boleh malu menegur kesalahan kawan. Mungkin dia melakukannya tanpa disedari. Apabila kawan meminta maaf di atas kesilapannya, kita mestilah sentiasa bersedia memaafkannya. Rasulullah SAW tidak pernah berdendam dengan orang lain. Baginda tetap berbuat baik walaupun kepada orang yang selalu menghinanya.

Jika kawan kita sakit, kita perlu menziarahinya dan memberi nasihat serta kata semangat kepadanya agar dia mampu menghadapi ujian dengan sabar. Berdoalah agar dia cepat sembuh. Kita juga mestilah menziarahi kenalan kita yang meninggal dunia atau sekurang-kurangnya menyembahyangkan jenazah dan menyedekahkan al-Fatihah kerana itulah bakti terakhir kita kepadanya.

Amirah harap kawan-kawan dapat mengamalkan adab bergaul ini setiap hari. Tapi, ingat. Pergaulan kita ada batasnya. Jauhkan diri kawan-kawan daripada terjebak dalam pergaulan bebas. Ingat tu!

Labels:


NEW
OLD