Sumayyah binti Khayyath
Jun 14, 2010 | 0 comments
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sumayyah binti Khayyath, syuhadah pertama umat Islam yang menumpahkan darahnya demi mempertahankan keimanannya bersama suami dan anak lelakinya. Teladan istimewa yang wajar dikenang sepanjang zaman.

Sumayyah binti Khayyath adalah seorang hamba sahaya milik Abu Hudzaifah bin Al-Mughirah. Beliau dikahwinkan oleh tuannya dengan seorang lelaki Yaman bernama Yasir bin Amir yang merupakan seorang perantau di kota Makkah. Kerana banyak mendapat halangan, Yasir meminta perlindungan kepada Abu Hudzaifah yang merupakan kepala suku Bani Makhzum.

Hasil perkahwinannya dengan Yasir bin Amir, Sumayyah dikurniakan anak lelaki yang diberi nama Ammar bin Yasir. Melalui anak lelakinya inilah, pasangan Yasir dan Sumayyah mengenali agama Islam.

Suatu hari, Ammar yang mula menginjak usia remaja mendengar khabar tentang kedatangan nabi baru yang membawa ajaran Tuhan. Dia pun segera mencari dan ingin membuktikan khabar tersebut. Sebaik sahaja mengenali Rasulullah S.A.W, Ammar pun terus jatuh hati dan langsung mengucapkan ikrar syahadatnya.

Mendapat khabar gembira, Ammar segera menceritakan kepada ayah bondanya. Berbeza dengan kebanyakan orang Quraisy yang anti bahkan memusuhi Islam, Yasir dan Sumayyah justeru menyambut dengan gembira khabar ini. Bahkan mereka kemudian mengikuti jejak Ammar untuk bersyahadat dan menjadi seorang muslim.

Keislaman yang awalnya disembunyikan akhirnya diketahui juga. Mendengar cerita bahawa keluargaYasir ini memeluk agama Islam menimbulkan kemarahan Abu Hudzaifah. la memaksa supaya keluarga ini meninggalkan Islam dan kembali kepada agama nenek moyang mereka yang menyembah Al-Latta dan Al-'Uzza. Namun ketiganya berkeras mempertahankan keyakinan mereka.

Seperti yang dialami oleh golongan awal yang memeluk Islam, Yasir, Sumayyah dan Ammar mengalami banyak sekali halangan dan cubaan. Hal ini ditambah lagi kerana status keluarga mereka yang bukan daripada kalangan bangsawan Quraisy. Akibatnya penderitaan yang mereka alami keterlaluan dan mereka diseksa dengan kejam melampaui batasan kemanusiaan.

Orang yang paling kejam menyeksa mereka adalah orang-orang yang selama ini melindunginya iaitu daripada kalangan Bani Makhzum yang dipimpin oleh Abu Hudzaifah. Sumayyah yang merupakan seorang wanita, dihumban ke atas pasir, lalu tubuhnya ditimbus dengan pasir yang sangat panas.

Seakan belum berpuas hati, dada Sumayyah kemudiannya dihimpit dengan batu besar supaya ia tidak dapat bernafas. Lalu mereka memaksa Sumayyah untuk mengimani berhala-berhala nenek moyang mereka. Namun wanita solehah ini tetap bertahan dengan keyakinannya kerana ingat janji Allah S.W.T bagi hamba-Nya yang bertakwa, iaitu syurga.

Yasir, Sumayyah dan Ammar terus mendapat seksaan yang sedemikian keji. Mereka didera dan disalib di padang pasir yang terik, ditindih dengan batu panas, dibakar dengan besi panas, bahkan sampai ditenggelamkan ke dalam air hingga sesak nafasnya dan mengelupas kulitnya yang penuh dengan luka.

Suatu hari ketika Ammar sudah tidak mampu untuk menanggung penyeksaan, dia kemudian mengadu kepada Rasulullah S.A.W mengenai keadaannya. Rasul yang setiap hari datang memberikan sokongan lantas berseru, "Sabarlah, wahai keluarga Yasir. Tempat yang dijanjikan bagi kalian adalah syurga."

Sekalipun berat seksaan yang diterima, namun ketiganya tetap mempertahankan keislamannya.
Ketika berada dalam keadaan sedar, tidak ada satu pun kalimat yang terlontar dari mulut ketiganya kecuali kalimat "Ahad..Ahad.." seperti yang dilontarkan Bilal bin Rabah. Hal ini semakin meningkatkan amarah orang Quraisy kerana gagal melunturkan keimanan mereka.

Hingga suatu ketika, orang Quraisy berasa putus asa dengan keteguhan iman ketiganya, mereka memutuskan membunuh Sumayyah. Abu Jahal lah yang melaksanakan perbuatan keji tersebut. Dengan tombaknya yang runcing, Abu Jahal menjadikan Sumayyah mujahidah pertama yang gugur di jalan Allah apabila tombak tersebut menembusi dada Sumayyah.

Menjelang wafatnya, tidak sedetik pun Sumayyah menggadaikan keimanannya. Sumayyah binti Khayyath simbol ketabahan hati, kekuatan iman, dan ketangguhan jiwa seorang mujahidah. Beliau rela mengorbankan segala-galanya, termasuk jiwa dan raganya demi Islam.

Sumayyah binti Khayyath syahid dengan meninggalkan teladan yang luar biasa. Tidak hairanlah beliau menjadi wanita yang sangat mulia dengan keberanian dan ketabahannya.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: "Kami telah beriman" sedangkan mereka tidak diuji lagi?" (Surah Al Ankabut, ayat 2).


Labels:


NEW
OLD