Tidak !
Dec 29, 2009 | 0 comments
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kawan-kawan pernah beli tak buku 'Bacakan Saya Satu Cerita'? Hari ini Amirah akan bercerita satu kisah yang diambil dari buku itu. Cerita ni adalah cerita yang paling Amirah suka (dalam buku itu). Amirah pun tak tahu sebab apa Amirah suka cerita ni. Hihi.. Cerita ni dikarang oleh Ainin Naufal. Jangan lupa baca pengajarannya sekali tau.

Ada seorang nenek kebayan tinggal di dalam sebuah pondok. Dia menyumpah sesiapa yang cuba mendekati pondoknya. Dia pandai mengucapkan 'tidak' sahaja.


Tiga sahabat pencari kayu api menemui pondok itu. Sebenarnya mereka kehabisan bekalan air dan sedang kehausan. Mereka tahu berkenaan nenek kebayan yang menakutkan itu. Mereka terlihat tempayan yang penuh berisi air di depan pondok nenek kebayan. Lanang mendekati tempayan itu dan mahu meminumnya.

"Jangan, nanti kamu disumpah. Lagipun, tidak baik mencuri," tegah Banang. "Betul. Aku tidak sanggup disumpah," sokong Alang pula. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kedatangan nenek kebayan. Mereka ketakutan.


"Kami haus. Bolehkah kami minta sedikit air?" tanya Banang terketar-ketar.

"Tidak," Nenek Kebayan bersuara.

"Tolonglah, berikan kami air," rayu Alang pula.
"Tidak," Nenek Kebayan memberi jawapan yang sama. Mukanya kelihatan sangat garang.

"Kita tidak boleh memulakan pertanyaan dengan perkataan 'boleh' kerana dia pasti menjawab tidak," bisik Alang kepada Banang dan Lanang.
"Sekiranya begitu kita mulakan pertanyaan dengan perkataan 'tidak' juga," usul Lanang.

Tiba-tiba Banang mendapat ilham. "Baiklah, saya cuba bertanya," katanya.

"Tidakkah nenek marah sekiranya kami minum air ini?" tanya Banang.

"Tidak!" jawab nenek kebayan.
Ketiga-tiga sahabat itu gembira dan minum dengan puas. Perjalanan mereka masih jauh dan punca air sukar diperoleh. Tiba-tiba Alang mendapat satu lagi ilham. "Tidakkah nenek marah sekiranya kami mengambil air ini sebagai bekalan?" tanya Alang. "Tidak!" jawab nenek kebayan.

Mereka memenuhkan bekas air masing-masing dan mengucapkan terima kasih kepada nenek kebayan sebelum pergi. Melalui mesyuarat, mereka mendapat ilham minum air dan selamat daripada sumpahan.


Moral
: Gunakanlah kebijaksanaan akal untuk menyelesaikan masalah.



Labels:


NEW
OLD