Kelkatu Sombong
Nov 25, 2009 | 0 comments
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Seperti semalam, kali ini Amirah akan bercerita lagi. Tajuknya kena tengok kat atas dulu. Dah tahu? Jom mulakan cerita.

Pada suatu hari sekawan kelkatu terbang masuk ke sebuah rumah. Di dalam rumah itu ada jamung sedang menyala. Kelkatu-kelkatu itu seronok melihat cahaya jamung. Ia terbang mengelilingi cahaya jamung itu.

"Kawan-kawan, marilah kita terbang dekat api jamung itu," kata seekor kelkatu. "Tak mahu. Kami tak berani hendak terbang dekat api jamung," balas kelkatu-kelkatu itu. "Kamu semua penakut. Kalau kamu semua tak mahu, aku hendak terbang dekat api jamung itu," kata kelkatu itu dengan sombong.

"Jangan, jangan terbang dekat api jamung. Api itu terlalu panas," kata kelkatu-kelkatu itu lagi. "Kamu semua memang pengecut. Sekarang aku akan tunjukkan kepada kamu semua," balas kelkatu itu, tidak menghiraukan larangan kelkatu-kelkatu yang lain.

Kelkatu itu pun dengan pantas terbang menuju api jamung. Ketika sampai dekat api jamung, ia terkejut apabila kedua-dua sayapnya terbakar. Kelkatu itu tidak boleh terbang lagi. Kelkatu itu jatuh ke lantai.

"Tolong! Tolong! Tolong! Aku tidak boleh terbang," kata kelkatu sombong. "Itulah, kami telah larang kau supaya jangan terbang dekat api jamung, tapi kau degil," kata salah seekor kelkatu.

"Tolong! Tolong! Tolong! Aku tidak boleh terbang. Aku tidak ada sayap," rayu kelkatu sombong. "Lain kali kau jangan sombong dan degil, kelkatu," jawab salah seekor kelkatu lagi.

Kelkatu yang tidak bersayap cuma boleh berjalan di lantai. Dia memandang kawan-kawannya yang riang terbang mengelilingi cahaya api jamung itu. Dia menyesal.

Moral : Sombong bukan sifat yang disukai Rasulullah SAW. Oleh itu, kawan-kawan jangan jadi seperti kelkatu sombong tu ya. Nanti kawan-kawan juga yang akan rugi.

Labels:


NEW
OLD