Setangkai Doa dan Al-Fatihah buat Arwah Wan
Jul 17, 2011 | 0 comments
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Mesej dari Abi kepada Ummi dan diforwardkan kepada Amirah :

Jumaat, 15 Julai 2011
9.25 pagi

Ibu . . .
Kau telah merasai kematian, sesungguhnya tidak ada lagi kematian selepas ini buat selama-lamanya. Allah telah mengujimu tepat 9 bulan yang terakhir dengan kesakitan dan kepayahan, angin ahmar yang menyerang menyebabkan engkau lumpuh dan tidak mampu berkata-kata, engkau terpaksa makan melalui tiub, engkau kerap batuk dan demam, engkau kesakitan setiap kali dimandikan, belakangmu sentiasa pedih akibat melecet, namun engkau sabar dan hanya menangis bagi menzahirkan kesakitanmu. 2 hari terakhir yang kusaksikan amat memilukan, namun dirimu terus tabah menahan kesakitan, demam dan lelah..

Dan hari ini, segalanya telah berlalu, ibu.. Kulihat wajah terakhirmu yang bersih tanpa kerutan menggambarkan satu kepuasan. Air mukamu pula tenang bak tidur yang lena. Mudah-mudahan itulah petanda Allah meredhai perjuanganmu, perjuangan semasa sihatmu dan perjuangan menanggung derita kesakitan itu. Segala ujian yang kau lalui dengan sabar, InsyaAllah akan meninggikan darjatmu di syurga..

Hayatmu di dunia telah berlalu.. Segala jasamu, amal solehmu, derma dan sumbanganmu, nasihat dan ajaranmu, semuanya akan menjadi pahala yang akan kau nikmati hasilnya di sana. Dan anak-anakmu yang kau tinggalkan, InsyaAllah akan sentiasa mendoakan kesejahteraanmu. Kau telah pergi buat selamanya ibu, tiada lagi gurau tawa dan belaian yang manja.. Rindu kami hanya terbalas apabila kita dipertemukan di syurga.

Ibu... Tiada yang menyamaimu... Ya Rabbi, ubatilah rindu kami dengan pertemuan itu... Amin...
"Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosa Wan, ya Allah.. Cucurilah rahmat dan kasih-sayangMu kepada beliau. Tempatkanlah Wan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga Wan sentiasa tenang dan bahagia di sana. Amin, Amin, Amin Ya Rabbal 'Alamin.."
Baca SINI ya! Sekalung Al-Fatihah buat Wan :'(

Labels:


NEW
OLD